//
you're reading...
Berita / News

Lebih baik negara sekular tetapi adil – bekas Mufti Perlis

SHAH ALAM — Perdebatan sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau Islamik berlanjutan dengan Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap ianya hanyalah pergaduhan jenama sambil mengatakan sebuah negara sekular yang adil lebih baik daripada negara Islam yang mengeksploitasi agama.

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di negara ini akan tetapi Menteri De Facto Undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Isnin lalu menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular kerana tidak pernah diisytiharkan atau disahkan sedemikian dan tidak ditulis dalam

Perlembagaan akan tetapi beliau berhenti sebelum melabel Malaysia sebuah negara Islam.

“Awak boleh namakan negara itu negara Islam tetapi awak eksploitasi Islam, untuk apa? Awak namakan negara sekular tetapi berikan hak rakyat, itu adalah lebih baik. Yang paling penting nilai-nilai yang dibawa. Orang suka eksploit jenama.

“Akan tetapi, saya tidak berminat dengan istilah, saya lebih berminat dengan isi sesebuah negara tersebut,” kata bekas Mufti Perlis itu kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas program Wacana Sinar Harian ke-15 bertajuk “Peranan Ulama, Menasihati Pemimpin” di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf semalam.

“Saya mintak kepada PAS khususnya, jangan bertelagah tentang jenama. Kita perlu fikirkan apakah keadilan sosial dapat dilaksanakan dalam sebuah negara yang berbilang kaum,” katanya tentang parti Islam tersebut yang mendakwa Umno menggunakan Perlembagaan sekular warisan penjajah Inggeris.

Desakan yang kuat daripada PAS mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada ketika itu perdana menteri mengumumkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada tahun 2001 demi untuk memenangi kembali undi orang-orang Melayu yang memihak kepada pembangkang dalam pilihan raya tahun 1999.

Mohd Asri kini kembali mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM) selepas berhenti daripada menjadi Mufti Perlis menegaskan beliau bersetuju Malaysia adalah sebuah negara Islam berbanding sekular.

“Takrifan negara Islam itu ialah apabila negara itu dikuasai oleh orang beragama Islam dan sekurang-kurangnya ada sebahagian perundangan Islam (Undang-undang Syariah) dilaksanakan itu sudah memadai.

“Bukti terkuat Malaysia itu adalah negara Islam apabila kita orang Islam di Malaysia menuntut Islam itu diperkukuhkan dalam negara,” kata tokoh tersebut.

“Kita tak boleh tuntut daripada bukan Muslim untuk dia sembahyang, kita kena iktiraf dia Muslim dauhulu, baru kita suruh dia puasa.

“Apabila kita suruh negara kita mengamalkan Islam, itu bermakna kita iktiraflah dia Islam pada dasar itu,” katanya.

Dr Mahathir semalam mendakwa bahawa Malaysia “mengikut definisi” adalah sebuah negara Islam kerana ia diakui sebagai sedemikian oleh dunia Islam.

“Kami tidak peduli tentang apa orang-orang ini kata untuk menjadikan ia satu isu politik,” katanya, merujuk kepada perbahasan berterusan mengenai isu negara Malaysia negara sekular atau tidak.

Bekas PM juga melahirkan kekecewaan bahawa isu hudud telah dipolitikkan oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.

“Hudud ni yang digunakan untuk politik sebenarnya bukan hudud. Ia adalah satu isu politik yang digunakan untuk kemenangan satu pihak.

“Rugilah orang Islam, kalau dia mencuri, tangan dia dipotong. Kalau kawan dia mencuri sama-sama dengan dia, kawan dia kena dua bulan penjara. Adil kah itu? Itu bukan Islam,” katanya.

Menteri De Facto Undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Isnin lalu menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular kerana tidak pernah diisytiharkan atau disahkan sedemikian dan tidak ditulis dalam Perlembagaan akan tetapi beliau berhenti sebelum melabel Malaysia sebuah negara Islam.

Dr Mohd Asri mengatakan isu untuk menamakan Malaysia negara sekular atau Islamik muncul sekali lagi menjadi polemik kerana pilihan raya umum yang semakin hampir.

“Tetapi kita kena tahu negara tidak masuk Syurga atau Neraka yang masuk Syurga atau Neraka adalah manusia. Jadi kita kena betulkan bukan soal jenama negara sahaja tetapi yang kita kena betulkan adalah isi negara tersebut.

“Tanda sesebuah negara itu adalah Islamik apabila ia benar-benar menunaikan tanggungjawab pemerintahan kepada rakyat.

“Pemerintah melaksanakan tanggungjawab mereka, rakyat laksanakan tanggungjawab mereka. Dimana ada keadilan, disitu ada syariat tuhan. Tak kira awak nak namakan negara itu apapun,” katanya.

Perdebatan tentang status negara berterusan menjelang PRU yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada bulan April tahun hadapan selepas mandat Barisan Nasional (BN) tamat.

Dalam pilihan raya 2008, BN hilang penguasaan majoriti tradisi dua pertiga dan hilang penguasaan di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan kepada Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS.

Perak jatuh kembali ke tangan BN selepas beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) PR meninggalkan pakatan tersebut.-TMI

About KLdaily

Paparan Berita, Pendapat, Rakaman Fakta, Gossip - Politik dan Sosial

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: