//
you're reading...
Berita / News

Ahli Parlimen PR BN sependapat tangguh AES

Kebanyakan anggota Parlimen PR dan BN bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan. Malah ahli-ahli Parlimen ini juga bersetuju bahawa satu kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata pelaksanaan AES ini dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.

“Saya sokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di seluruh negara tetapi pemasangan AES harus diletakkan di kawasan yang sesuai.

“Apa yang berlaku sekarang, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya bahawa pemasangan AES bukan sahaja diletakkan di tempat yang tidak sesuai, malah ia turut mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya,” ujar beliau lagi.

Turut memberi respon yang sama ialah Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin yang menyarankan agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES yang didapati terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya dan perlu diatasi, antaranya, lokasi serta halaju praktikal sesebuah kawasan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan sistem tersebut dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.

Manakala Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pula berkata penangguhan AES itu perlu supaya kerajaan, khususnya pihak Kementerian Pengangkutan, dapat memberi penjelasan sepenuhnya kepada rakyat berhubung kepentingan melaksanakan sistem baru tersebut.

Beliau turut berpendapat aspek pendedahan awal terhadap pelaksanaan sistem AES terlalu kurang menyebabkan rakyat tidak bersedia sehingga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaannya.

“Jadi, ini yang mereka (rakyat) tidak puas hati,” kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu.

Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, yang menyambut baik cadangan penangguhan AES, mencadangkan supaya sistem itu diberi satu tempoh percubaan.

Beliau berkata sepanjang tempoh percubaan itu, kerajaan akan mempunyai ruang untuk mengkaji keberkesanan sistem tersebut terutama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut sependapat bahawa beliau menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh negara kerana jumlah kemalangan di negara ini antara yang tertinggi di dunia.

Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian Salehuddin Ayub, penangguhan pelaksanaan AES adalah wajar kerana ia bukan penyelesaian dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya tetapi lebih kepada membebankan pengguna.

“Semua pihak harus bersuara dengan memberi pendapat mengenai isu ini, dan memastikan ia mencapai matlamatnya untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan rayadan bukan menjadikan pengguna jalan raya sebagai mangsa kepada sistem penguatkuasaan yang tidak berkesan,” katanya.

Sebelum ini, negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sepakat untuk menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian dijalankan mengenainya.

Isu AES ini hangat diperkatakan oleh semua pihak kerana perlaksanaannya menimbulkan kecurigaan baik dari segi keberkesanannya dan juga kaedah ia digunakan. Malah Lim Guan Eng juga turut mempersoalkan tender untuk pemasangan AES ini tidak dibuat secara terbuka dan mempersoalkan mengapa syarikat yang mengendalikan AES ini turut mendapat komisen atas setiap saman yang dibayar oleh pesalah trafik.

About KLdaily

Paparan Berita, Pendapat, Rakaman Fakta, Gossip - Politik dan Sosial

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: