//
you're reading...
Berita / News

Pulau Pinang bentang undang-undang anti-lompat parti

GEORGE TOWN : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Negeri untuk mengharamkan wakil rakyat melompat parti.

Katanya, pindaan itu yang dibentang di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang penting kerana ia dapat menyelesaikan masalah negara yang telah banyak kali mengalami huru-hara apabila kerajaan-kerajaan negeri ditumbangkan oleh Kerajaan Pusat secara tidak demokratik, melalui pembelotan ahli-ahli politik.

Menurutnya, pertukaran kerajaan itu disebabkan wakil rakyat diperdagangkan dengan habuan politik untuk mengkhianati  bukan sahaja parti yang diwakili mereka tetapi juga kepercayaan rakyat yang memilih mereka dan amanah awam terhadap proses pilihan raya demokratik.

Beliau menjelaskan bahawa dalam sejarah Malayisa, sudah berlaku di tiga negeri di mana mandat rakyat tidak dihormati, iaitu di Sarawak pada tahun 1966, di Sabah pada tahun 1994 dan di Perak pada tahun 2009.

Kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat negeri-negeri tersebut dalam pilihan raya umum masing-masing ditumbangkan secara tidak demokratik tanpa memberikan peluang kepada rakyat untuk memberi mandat baru menerusi pilihan raya, tambah beliau.

“Adalah perlu ia tidak berulang lagi di mana-mana negeri dan negeri Pulau Pinang rela memimpin usaha ini,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, krisis sedemikian menggambarkan wakil-wakil rakyat yang terlibat tidak mempunyai kewibawaan atau kredibiliti sebagai pemimpin, tiada pendirian kepartian dan moralnya boleh dipersoal.

“Demi mempertahankan sistem demokrasi kita, amalan jahat ini harus diharamkan,” tambah beliau.

Butir-butir pindaan

Menurutnya, pindaan Perlembagaan Negeri itu membabitkan Perkara baru 14A, bertajuk “Pertukaran parti politik seorang ahli”, selepas Perkara 14, di mana ia memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan ini yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik tersebut atas apa-apa jua sebab.

Sebaliknya, seorang ahli yang dipilih sebagai calon bebas hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia menyertai suatu parti politik.

Fasal (2) Perkara 14A mengecualikan keadaan di mana seorang ahli berhenti daripada menjadi ahli parti politiknya akibat pembubaran atau pembatalan pendaftaran partinya, atau di mana seorang ahli melepaskan keahlian partinya atas sebab pemilihannya sebagai Yang di-Pertua Dewan.

Sekiranya berlaku pertukaran parti politik seorang ahli seperti yang diperuntukkan dalam Fasal (1), maka kerusi ahli tersebut akan dianggap kosong secara automatik, dan Yang di-Pertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya mengikut Fasal (4).

Walaubagaimanapun, ahli yang telah mengosongkan kerusinya menurut Perkara 14A boleh bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya, mengikut Fasal (3).

Tiga prinsip anti-lompat

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, pindaan itu telah digubalkan dengan kerjasama dan dengan sokongan penuh daripada semua parti dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang – DAP, PKR dan PAS – berdasarkan tiga prinsip:

* Pakatan Rakyat percaya akan kedaulatan Rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen di mana rakyat berhak untuk memilih ataupun untuk menolak sesebuah kerajaan atau seseorang wakil rakyat melalui pilihan raya yang bebas dan adil, dan ia bukan ditentukan oleh kroni-kroni yang melayangkan wang. Yang dikehendaki adalah ketuanan rakyat, bukanlah ketuanan kroni.

* Pakatan Rakyat percaya akan kebebasan berpersatuan. Jika seseorang wakil rakyat tidak bersetuju dengan tindakan-tindakan atau dasar-dasar politik partinya, biarlah dia keluar parti itu dan menyertai parti yang lain. Hak yang ada padanya adalah untuk menyertai atau memisahkan diri daripada mana-mana persatuan atau parti politik. Tetapi biarlah dia mengosongkan kerusinya dan bertanding semula dalam pilihan raya yang baru, kerana hak memilih kerajaan dan wakil rakyat adalah hak rakyat, dan bukan hak ahli politik.

* Pakatan Rakyat percaya akan prinsip akauntabiliti, di mana ahli kerajaan dan ahli badan perundangan adalah bertanggung jawab kepada pengundi-pengundi. Jika seseorang wakil rakyat melompat parti, tidak kira sama ada dari parti kerajaan kepada parti pembangkang ataupun sebaliknya, maka dia hendaklah memberikan akauntabiliti kepada pengundi-pengundinya, yang berhak untuk memutuskan sama ada untuk menerima ataupun untuk menolak mereka.

Dengan cara beginilah dapat rakyat memilih wakil-wakil rakyat yang jujur dan berprinsip, dan menolak wakil-wakil rakyat yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, dasar Pakatan untuk membanteras budaya lompat telah ditentang keras oleh UMNO dan Barisan Nasional yang mahukan ruang untuk merampas kuasa secara tidak demokratik.

Kaji semula keputusan mahkamah

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang sedar akan kemungkinan bahawa pelaksanaan pindaan itu akan dicabar di mahkamah, berdasarkan keputusan Mahkamah Agung (sekarang dipanggil Mahkamah Persekutuan) pada tahun 1992 dalam kes Nordin Salleh lwn. Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Katanya, dalam kes tersebut, peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Kelantan yang serupa dengan Perkara yang dicadangkan di Pulau Pinang ini telah diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah kerana didapati bertentangan dengan kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, beliau menjelaskan, ketetapan kerajaan negeri adalah untuk meluluskan pindaan ini agar Mahkamah Persekutuan mendapat peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin Salleh itu, yang telah menyebabkan huru-hara di negara ini kebelakangan ini.

Menurutnya, preseden untuk pengkajian semula ini boleh didapati dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, di mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 telah dikaji semula oleh Mahkamah yang sama pada tahun 2010.

“Keputusan Mahkamah dalam kes Boonsom Boonyanit telah didapati mengabaikan mangsa-mangsa kes penipuan tanah, yang tiada remedi apabila tanah mereka diselewengkan, manakala keputusan Mahkamah dalam kes Nordin Salleh mengabaikan pemilih yang menjadi mangsa kes penipuan oleh pembelot politik, yang tiada remedi apabila pemerintahan Negeri tanahair mereka dirampas oleh kuasa luar.

“Sebagaimana Mahkamah Persekutuan telah mengkaji semula keputusannya dalam kes Boonsom Boonyanitselepas 10 tahun, kami harap Mahkamah Persekutuan dalam tahun 2012 dapat mengkaji semula keputusannya dalam kes Nordin Salleh selepas 20 tahun,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan, kerajaan negeri Pulau Pinang berpendapat bahawa keputusan Nordin Salleh wajar dikaji semula kerana ia mengutamakan hak kebebasan berpersatuan ahli-ahli politik tanpa memberi perhatian yang sewajarnya kepada hak pengundi untuk memilih kerajaan dan wakil-wakil rakyatnya.

Tambah beliau, selain daripada Kelantan, hanya Pulau Pinang sanggup meluluskan pindaan yang bersejarah itu ini, kerana Pakatan Rakyat mempunyai majoriti 2/3 di Dewan yang mulia ini. Dua puluh tahun selepas keputusan Nordin Salleh, sudah tibanya masa kuasa Rakyat diperkasakan semula.

Beliau yakin pindaan itu juga dapat membanteras budaya tidak sihat dan tidak beretika melompat daripada satu parti ke satu parti demi habuan politik, menegakkan integriti dan akauntabiliti awam serta memulangkan kuasa demokratik untuk memilih kerajaan dan wakil-wakil rakyat kepada rakyat. – Roketkini.com

About KLdaily

Paparan Berita, Pendapat, Rakaman Fakta, Gossip - Politik dan Sosial

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: