//
you're reading...
Pendapat / Opinion

Ekonomi bukan untuk kapitalis sahaja

Saya cukup terkesan apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar membangkitkan masalah perumahan di kawasannya, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik, membalasnya dengan nada bersahaja: “Apa masalahnya untuk membayar lebih RM80 sebulan?”

Memanglah RM80 sebulan tidak bermakna apa-apa untuk jutawan seperti Syed Mokhtar Al-Bukhary, atau terlalu kecil untuk Menteri yang berpendapatan puluhan ribu ringgit sebulan. Namun kita amat sedar akan makna RM80 untuk sesebuah keluarga yang berpendapatan RM600 sebulan, lebih-lebih lagi tinggal di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.

Pembangunan = Bina bangunan?

Untuk sekian lama kita menyembah kepada mitos bahawa negara kita perlu melahirkan orang kaya untuk diiktiraf sebagai bangsa yang berjaya.  Logik yang menyusul, orang kaya ini akan melabur di Malaysia, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi negara kita.  Justeru itu, kita tidak memandang berat isu rasuah dan penyelewengan, kerana segala ketirisan boleh diimbangi dengan hasil petroleum yang diperoleh dari alam semulajadi.

Bagi Barisan Nasional, pemberian kontrak dan projek mega hampir mendefinisikan apa itu Bajet.  Dalam Bajet 2013, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM386 juta untuk membuka 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Malaysia Timur.  Secara puratanya, RM6.77 juta disalurkan kepada setiap KR1M, atas nama untuk rakyat tetapi melalui syarikat tertentu.

Pembinaan menjadi tema utama dalam bajet.  Dalam Bajet 2013, Tun Razak Exchange atau TRX telah dilancarkan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM26 bilion, kononnya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa – tatkala sistem kewangan antarabangsa hampir meranap.

Jadi, mana dia institusi kewangan asing yang akan menempatkan pejabatnya di sini?  Jikapun mereka datang ke Kuala Lumpur, mengapa tidak mereka menyewa ruang pejabat di KLCC?  Padahal kita cukup sedar, bahawa penawaran ruang pejabat telah melebihi keperluan penghunian di Lembah Klang.  Sudah terlalu banyak ruang pejabat di ibu kota. Namun, kerajaan tetap dengan keazamannya untuk terus membina lebih bangunan.

Perhentian bas dibina, perkhidmatan bas tidak dipedulikan

Membina bangunan tanpa pengisian menjadi sesuatu yang lumrah untuk kita.  Contohnya perhentian bas. Kita seolah-olah hanya ghairah untuk membina perhentian bas, tetapi tidak berminat untuk mengendalikan perkhidmatan bas.  Padahal di Kuala Lumpur, jumlah bas yang ada sekarang jauh kurang daripada jumlah bas yang ada pada tahun 1985 – meskipun Kuala Lumpur telah diperluaskan, malah Hentian Puduraya telah dinaiktaraf menjadi Pudu Sentral dengan kos lebih RM40 juta, sebelum diubahsuai menjadi Bangunan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) sekarang.

Keadaan ini berlaku kerana pembinaan bangunan menjadi satu keperluan untuk BN menyalurkan kepentingan kepada kroninya.  65% kerusi Dewan Rakyat datang dari kawasan desa , maka sumber perlu disalurkan ke setiap bahagian demi melindungi kepentingan kroninya, yang akan mengukuhkan kuasa UMNO dalam kerajaan di sebaliknya.

Apa yang berlaku adalah 71% populasi rakyat Malaysia kini tinggal di bandar.  Selain membina bangunan, kerajaan BN tidak memperlihatkan kemampuan dan idea untuk merancang pembangunan sesebuah bandar demi masa depannya.

Misalnya, pusat bandar digunakan sepenuhnya untuk pembinaan bangunan seperti TRX, tanpa seinci tanah yang tinggal untuk golongan miskin.  Maka, mereka yang berpendapatan rendah terpaksa tinggal di kawasan yang jauh dari pusat bandar, tanpa kita menaik taraf sistem pengangkutan awam yang sedia ada.

Tidak sukar untuk kita meramalkan 10 tahun kemudian, seandainya harga minyak antarabangsa melonjak lagi , bukankah ia menambah beban kepada golongan miskin ini?  Semakin jauh mereka tinggal dari pusat bandar, semakin tinggi kos pengangkutan, maka semakin miskinlah golongan ini.

Sistem pengangkutan awam BN yang makin teruk

Mahu atau tidak, dasar kerajaan sebenarnya menjadi penentu hidup mati rakyat.  Pada Jun 2008, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan harga minyak sehingga RM2.70/liter.  Saya terbaca satu berita yang menyentuh hati saya, bahawa untuk tempoh tiga bulan selepas harga minyak dinaikkan, kesesakan jalan raya diredakan di banyak tempat.  Namun, apa yang menyusul berikutnya, kadar kematian dalam kemalangan pula meningkat.

Saya cuba mengkaji hubungan antara harga minyak dengan kadar kemalangan jalan raya.  Untuk semalaman saya google di internet, dan beberapa kajian telah saya tela’ah – hasil penemuannya, setiap kali harga minyak dinaikkan, kadar kematian kemalangan motorsikal akan melonjak.  Keadaan sebaliknya berlaku di negara lain, kerana setiap kali harga minyak naik, pemandu kereta akan dipaksa untuk menggunakan pengangkutan awam.

Di Malaysia, dengan sistem pengangkutan awam yang serba kurang, kenaikan harga minyak akan menukarkan pemandu kereta kepada penunggang motorsikal – mangsa yang paling ramai dikorbankan dalam kemalangan jalan raya.

Penjaja, peniaga kecil terus jadi mangsa

Justeru itu, dasar yang dirangka mahupun bajet yang dibentangkan, perlu memperlihatkan pendekatan untuk menyelesaikan masalah ini.  Mereka yang maut di jalan raya bukan sekadar angka dalam statistik, tetapi adalah anak kepada ibu, suami kepada isteri, malah bapa kepada anak.  Menaikkan harga minyak tanpa menyediakan sistem pengangkutan awam yang sempurna bermakna kerajaan ini sebenarnya meluncurkan nyawa rakyatnya di jalan raya ke arah maut.

Dan kini BN semakin tertekan apabila semakin menghampiri had tempoh kerajaannya.  Maka gendang dipalu dalam Bajet 2013 berbunyi kerajaan BN juga mengambil berat golongan berpendapatan rendah.  RM16 juta diperuntukkan untuk membiayai skim perlindungan insurans bagi 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil.  Namanya sedap didengar tetapi wangnya sampai ke syarikat insuran milikan kroni.  Wang ini hanya sampai di tangan penjaja kecil apabila ditimpa kemalangan.

Persoalan yang lebih besar di sebalik sindiran sinis ini berbunyi, mengapa wujudnya 1.5 juta peniaga kecil dengan pendapatan harian yang tidak menentu di luar sistem ekonomi formal?  Peniaga kecil ini menjaja minuman, nasi lemak, kuih-muih dan sebagainya, untuk menyara kos hidup yang semakin melonjak.  Taraf pendidikan mereka rendah, bekerja di kilang, bersaing dengan buruh asing untuk gaji bulanan RM700.  Namun, upah sebegitu gagal menampung kos sara hidup sekeluarga.  Mereka gagal memasuki sistem ekonomi formal, dan terpaksa menjaja di tepi jalan untuk sesuap nasi.

Ini realitinya.  Persoalannya adalah bagaimana kita menambah pendapatan boleh guna (disposable income) golongan ini, agar mereka terlindung dalam struktur ekonomi yang lebih saksama dan inklusif, dan bukannya sekadar membiayai skim insuran dengan memanfaatkan syarikat insuran.

Rapatkan jurang kaya-miskin

Di sini perbezaan ketara antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.  Penyediaan bajet memerlukan imbangan antara pendapatan dan perbelanjaan. BN tidak mengendahkan ketirisan berbilion-bilion ringgit lantaran rasuah dan penyelewengan.  Mereka sebaliknya memeras wang dari cukai rakyat untuk meningkatkan pendapatan, agar mengimbangi perbelanjaan.

Namun Pakatan Rakyat tidak bersetuju untuk memintal, memulas atau memerah rakyat di bawah untuk mencantikkan angka ekonomi.  Pakatan Rakyat menganjurkan pembinaan sesebuah masyarakat yang selamat untuk orang kaya, sementara mengurangkan keperitan hidup orang miskin dan golongan sederhana.  Maka jurang kaya-miskin harus dirapatkan.

Kelas pertengahan perlu diperlebarkan.  Apabila majoriti populasi memiliki kerjaya dengan pendapatan boleh guna yang selesa, maka mereka boleh hidup bermaruah dan memperkembangkan bakatnya.  Tidak berlaku kes rompak untuk membeli susu tepung.  Sebaliknya kita akan memperlihatkan perubahan dalam masyarakat.  Lebih ramai akan terlibat dalam aktiviti kesenian, kebudayaan, malah mengambil berat dalam politik negara, lantas meningkatlah nilai kemanusiaan dan ketamadunan sesebuah masyarakat.

Laksanakan gaji minima, tolak cukai GST

Maka Pakatan Rakyat tidak teragak-agak untuk mencadangkan gaji minima pada paras RM1,100, meskipun diasak oleh Barisan Nasional bahawa dasar ini bakal memberi impak negatif kepada perusahaan kecil dan sederhana.  Pakatan Rakyat tidak berganjak untuk menolak GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), sungguhpun MCA memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Cina dalam isu ini, kononnya kaum Cina yang banyak membayar cukai jika tanpa GST. Logik MCA yang berbaur perkauman adalah, dengan wujudnya GST, ia lebih adil kepada kaum Cina kerana kaum Melayu juga membayar cukai apabila membeli barangan.

Namun saya melihat isu ini dari perspektif yang berbeza.  Golongan yang tidak membayar cukai adalah golongan yang miskin, kerana sememangnya pendapatan mereka tidak mencecah paras yang menuntut mereka untuk membayar cukai.

Seandainya pendapatan saya adalah RM10,000, dan saya membelanjakan RM1,000 untuk membeli barangan.  Jika 7% cukai dikenakan ke atas RM1,000, maka saya dikenakan cukai RM70.  Perlu diingatkan, RM1,000 adalah 1/10 daripada jumlah pendapatan saya.

Cuba bayangkan, seseorang yang berpendapatan RM1,000, dan RM1,000 itu dibelanjakan untuk membeli barangan.  Dia akan dikenakan cukai RM70 seperti saya.  Bezanya, nilai RM70 kepada seseorang yang berpendapatan RM1000 dengan nilai RM70 kepada seseorang yang berpendapatan RM10,000.  Jauh lagi andai kita bandingkan nilai RM70 kepada jutawan seperti Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Keluar dari model ekonomi peras orang miskin

Oleh demikian, kita mesti keluar dari model ekonomi BN yang memeras orang miskin untuk kekayaan penguasa dan kroni.  Senario terkini menyaksikan penyusutan ekonomi di negara pengimport barangan kita, misalnya kadar pengangguran Amerika Syarikat pada paras 8% untuk beberapa tahun kebelakangan; sementara Sepanyol di Eropah mencatat kadar pengangguran setinggi 20%.

Masalahnya, sebagai sebuah negara pengeksport, ke mana Malaysia mengeksport barangannya dalam suasana ekonomi yang merudum di negara pengimport utama?  Maka, akhirnya kita perlu bergantung kepada ekonomi domestik.

Laporan Ekonomi menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun 2013 pada paras antara 4.5% dengan 5.5%.  Sesungguhnya, pelaburan dan perbelanjaan kerajaan boleh menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi seandainya pelaburan atau perbelanjaan yang tidak mengena pada tempatnya, maka ia bakal meninggalkan hutang yang membebankan generasi akan datang – pengalaman yang silam cukup untuk menjadi pengajaran kepada kita.

Agihan ekonomi adil untuk kesejahteraan semua

Akhirnya, saya menganjurkan pengagihan sebagai strategi pertumbuhan ekonomi.  Saya yakin, dengan lebih pendapatan boleh guna dalam tangan rakyat, ia bakal mengekalkan satu suasana di mana wang berlegar-legar dalam pasaran, dan ia akan menyokong ekonomi negara kita.

Usah kita bimbang,  lebihan wang itu akan dialir keluar untuk disimpan dalam bank Switzerland, atau digunakan untuk membela lembu di dalam kondominium.  Wang itu akan kekal bergerak dan berkitar dalam negara kita.

Keprihatinan Pakatan Rakyat, bagaimana untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan mewujudkan kerjaya yang berkemahiran.  Kita tidak boleh menjadi pusat perdagangan antara pelabur asing dengan buruh asing (dengan tenaga kerja yang murah), sementara tahap kebajikan dan kualiti hidup rakyat tempatan tidak meningkat ke mana.

Kita perlu menyesuaikan tenaga kerja tempatan dengan teknologi tinggi, dan bersedia untuk menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada mereka, di samping mengurangkan kebergantungan kita terhadap buruh asing.

Pelabur asing tidak singgah ke Malaysia semata-mata kerana percukaian yang rendah.  Mereka mempertimbangkan faktor keselamatan, kerajaan yang bersih dari rasuah, bakat anak tempatan dan sebagainya.

Seandainya kita menyediakan suasana yang lebih selamat, pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dan sistem pengangkutan awam yang berkesan – tiada alasan untuk anak Malaysia mencari rezeki di luar negeri. Saya yakin, mereka akan memijak di tanah sendiri apabila maruah mereka dijunjung oleh kerajaan dengan sistem ekonomi yang membela nasib mereka. – Rkini.co

About KLdaily

Paparan Berita, Pendapat, Rakaman Fakta, Gossip - Politik dan Sosial

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: