//
you're reading...
Pendapat / Opinion

Dari Gaza ke Sri Lanka

Pemuda MIC dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijadual mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Sri Lanka pada 2 petang hari Rabu ini. Pada pagi ini pula, mereka dijangka menyerahkan memorandum kepada Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kedua-dua tindakan itu — serta penyerahan memorandum kepada Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay di Wisma Putra pada pada 23 November — adalah sebagai membantah kedatangan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa bagi menghadiri WIEF ke-8 di Johor Baru pada 4-6 Disember ini.

Sivarraajh bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menangani isu kemanusiaan.

Bantahan dan kemarahan yang ditunjukkan — khususnya oleh kaum India di Malaysia — mungkin menimbulkan pertanyaan dan salah tanggap dalam kalangan masyarakat umum. Walaupun bantahan dikemukakan berdasarkan alasan “isu kemanusiaan” berikutan jenayah perang yang berlaku di Sri Lanka, mungkin ada pihak yang akan memutar-belit dan memanipulasi fakta demi kepentingan politik.

Pada petang 24 November, saya bertemu Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh untuk mendapatkan maklumat lanjut dan pandangan beliau berhubung isu berkaitan. Memandangkan maklumat mengenai isu kemanusiaan di Gaza sudah sedia tersebar luas menerusi media arus perdana, saya memutuskan untuk menumpukan pada isu kemanusiaan di Sri Lanka dalam perbincangan bersama pemuda itu.

Bercakap mengenai isu kemanusiaan, jenayah perang dan penghapusan etnik yang terbukti berlaku di Sri Lanka, memang ternyata bahawa media di Malaysia gagal melaporkannya secara saksama, berbanding liputan perkembangan isu kemanusiaan di Gaza misalnya.

Sivarraajh mengakui bahawa berita mengenai kejadian di Sri Lanka hanya dilaporkan secara meluas dan berterusan oleh media Bahasa Tamil (akhbar, radio dan televisyen). Hal ini kerana isu kemanusiaan itu disalah anggap sebagai hanya merupakan isu etnik Tamil.

“Jika diperhatikan, ia sebenarnya isu kemanusiaan yang sepatutnya dilaporkan oleh media pelbagai bahasa di negara ini, sebagaimana tumpuan diberi pada isu kemanusiaan di Gaza. Akibat kelemahan media arus perdana yang gagal membuat laporan menyeluruh, khalayak tidak mendapat maklumat mengenai isu kemanusiaan yang berlaku di Sri Lanka,” katanya.

Media alternatif membantu usaha Pemuda MIC dalam memperjuangkan isu kemanusiaan.

Malah, berita mengenai penyerahan memorandum di Wisma Putra pada Jumaat lalu mendapat liputan muka depan di akhbar-akhbar Tamil tetapi kurang menarik perhatian media arus perdana lain.

Pemuda berumur 37 tahun itu tidak menolak kemungkinan kelemahan ini turut disebabkan kurangnya sensitiviti dalam kalangan pemilik dan pengamal media arus perdana yang bersikap kurang adil dalam melihat isu kemanusiaan, jenayah perang dan pembunuhan orang awam yang berlaku di Sri Lanka selama hampir 26 tahun.

Untuk berlaku adil kepada pihak media — kerana saya juga pengamal media — saya bertanya, apakah maklumat berkaitan isu kemanusiaan di Sri Lanka disalurkan ke semua media (pelbagai bahasa) di Malaysia.

“Pemuda MIC memang sentiasa menghantar kenyataan media kepada semua akhbar, radio dan televisyen.

Apa yang saya perhatikan adalah bahawa media Bahasa Tamil tahu akan latar belakang isu kemanusiaan di Sri Lanka dan mampu melihat nilai berita serta kepentingan isu  berkenaan. Media bahasa-bahasa lain pula nampaknya kurang berminat kerana berlaku sebaliknya. Maka khalayak yang mengikuti (membaca, mendengar, menonton) media berkenaan juga tidak berpeluang mengetahui berita mengenai isu kemanusiaan itu,” Sivarraajh menghuraikan.

Pemuda itu juga mengakui bahawa dalam isu kemanusiaan di Gaza, media sering memaparkannya sebagai “isu Islam” sedangkan mangsa yang terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita dan orang awam beragama Kristian dan Yahudi.

“Kalau kita mahu seluruh dunia atau seluruh negara prihatin terhadap isu kemanusiaan yang berlaku, maka kita perlu berhenti melihat jenayah perang itu dari sudut kaum dan agama. Sebaliknya perlu dilihat, ditangani dan dilaporkan di media dari sudut kemanusian.

Kalau perkara ini boleh dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran, saya yakin bahawa masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia akan lebih prihatin terhadap apa yang sebenarnya berlaku di Gaza, Sri Lanka dan Myanmar,” katanya.

NGO wajar mendapatkan maklumat yang tepat supaya tidak tersalah sasar dalam membuat bantahan.

Bagaimana pula dengan MIC sendiri? Adakah parti politik itu turut melibatkan kaum lain dalam menangani isu kemanusiaan di Sri Lanka? Saya membuat sedikit pencarian maklumat dan menemui keratan akhbar Malaysia Nanban (17 November 2008) yang melaporkan mengenai perhimpunan besar-besaran anjuran Pemuda MIC dan NGO kaum India di hadapan Kedutaan Sri Lanka pada 14 November 2008 bagi membantah jenayah perang di negara berkenaan. Wakil Umno, MCA, Gerakan dan PPP turut terlibat dalam demonstrasi itu.

“Wakil parti pembangkang juga hadir sama untuk menyokong kami. Sehari sebelum demonstrasi diadakan, Pemuda MIC mengadakan taklimat khas kepada para pemimpin terbabit untuk menjelaskan isu kemanusiaan yang diperjuangkan. Maka, mereka semua faham isu sebenar sebelum menyertai demonstrasi. Malangnya, sehingga hari ini, masyarakat umum Bukan Kaum India kurang memahami isu kemanusiaan di Sri Lanka kerana bergantung pada media arus perdana untuk mendapatkan maklumat,” kata Sivarraajh yang menyertai Pemuda MIC pada 2004.

Tidak dinafikan bahawa NGO kaum India yang terlibat dalam mengetengahkan isu kemanusiaan di Sri Lanka perlu sama-sama memikul tanggungjawab menyebarkan maklumat dan memberikan penerangan kepada masyarakat pelbagai kaum, agama dan bahasa di Malaysia mengenai isu sebenar.
Malah, Sivarraajh mencadangkan NGO kaum India turut menyiarkan iklan semuka penuh di akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin bagi tujuan murni itu.

Bagi saya pula, media alternatif dan laman rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan blog boleh digunakan sepenuhnya bagi menyampaikan maklumat ke arah menimbulkan kesedaran umum. Untuk menjayakannya, Bahasa Malaysia dan Inggeris wajar digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa komunikasi supaya maklumat yang sama dan serupa dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.

Berbalik pada cadangan demonstrasi di hadapan Kedutaan Sri Lanka pada 28 November, Sivarraajh mengundang semua pihak tanpa mengira kaum dan agama hadir sama. Beliau juga merayu supaya isu kemanusiaan itu tidak dipolitikkan atau dijadikan isu perkauman.

Hasil tinjauan sejak seminggu lalu, saya mendapati bahawa ramai individu kaum India kurang berminat untuk mengambil tahu mengenai isu kemanusiaan di Gaza. Memandangkan Pemuda MIC mahu masyarakat pelbagai kaum/agama terlibat dalam isu kemanusiaan di Sri Lanka, saya bertanya kepada Sivarraajh mengenai perkara itu.

“Dalam isu di Gaza, kebanyakan pihak terbabit di Malaysia — termasuk parti politik, NGO, media, pengguna Facebook dan orang awam — menggambarkannya sebagai isu berkaitan umat Islam. Akibat kelemahan itulah kaum India berpendapat bahawa isu kemanusiaan di Gaza tiada kaitan secara langsung dengan mereka.

Saya yakin bahawa jika semua pihak terbabit berhenti mengangkat isu di Gaza sebagai isu agama dan mula melihatnya sebagai isu kemanusiaan, masyarakat Bukan Islam di Malaysia akan tampil untuk turut sama memperjuangkan nasib penduduk Palestin,” katanya dengan penuh yakin.

Pada masa sama, jenayah perang dan isu kemanusiaan di Sri Lanka mendapat perhatian dan simpati daripada rata-rata penduduk kaum India di Malaysia kerana isu itu tidak dilihat dari sudut agama. Pada masa sama, Sivarraajh tidak menolak hakikat bahawa media Bahasa Tamil di Malaysia ketara memainkan sentimen “etnik Tamil” dalam melaporkan berita mengenai perang berkenaan.

Namun, pada umumnya, jenayah perang itu tetap dilihat oleh kaum India sebagai “isu kemanusiaan” tanpa dipengaruhi sentimen agama dan etnik.

Amat jelas bahawa masyarakat Bukan Kaum India di Malaysia kurang mendapat maklumat mengenai isu kemanusiaan di Sri Lanka. Hakikat ini turut diakui rakan-rakan pelbagai kaum apabila saya paparkan di Facebook pada 21 November lalu. Dalam kesempatan berbual-bual bersama-sama Sivarraajh di Bandar Puteri, Puchong pada Sabtu lalu, saya menyatakan perkara itu untuk mendapatkan reaksinya.

Penyerahan memorandum di Wisma Putra kurang mendapat liputan media arus perdana.

“Perang di Sri Lanka berlangsung selama hampir 26 tahun dan sudah tamat secara rasmi pada Mei 2009. Namun, kesan daripada jenayah perang itu masih ada dan mangsa peperangan masih memerlukan bantuan bagi membina kehidupan baru. Kerajaan Malaysia turut tampil memberi bantuan ke arah itu. Selain daripada itu, dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, NGO kaum India masih boleh meneruskan usaha memberi penerangan mengenai isu kemanusiaan itu supaya lebih banyak bantuan boleh disalurkan atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Menurut Sivarraajh, Pemuda MIC bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha murni itu; bukan hanya mengenai isu kemanusiaan di Sri Lanka, tetapi juga isu kemanusiaan di Gaza. Dalam hal ini, pada hemat saya, memandangkan MIC merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN), pasti media arus perdana (akhbar, radio dan televisyen) akan bersedia memberikan kerjasama menyiarkan berita dan kenyataan media berkaitan.

Namun, masalah tidak akan selesai sekiranya media, politikus dan NGO masih tebal dengan sentimen perkauman, etnosentrik, ketuanan dan keagamaan.

Masalah sama juga akan dihadapi dalam usaha menghalang kedatangan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa yang dijadual menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Johor Baru pada 4-6 Disember. Pemuda MIC dan NGO kaum India yang merancang demonstrasi aman besar-besaran dan penyeraham memorandum bantahan pada Rabu ini perlu segera memberi penerangan kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia supaya mereka memahami serta sama-sama tampil menyokong usaha itu.

Penjelasan yang diberikan perlulah tepat dan menyeluruh supaya tidak disalah anggap atau dimanipulasi dan diputar-belitkan mana-mana pihak. Misalnya, tindakan menghalang kedatangan Rajapaksa tiada kaitan dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Malah tidak bertujuan menjejaskan hubungan perdagangan.
Sebaliknya, perlu dijelaskan laporan media antarabangsa pada 13 November lalu yang mendedahkan bahawa pihak terbabit gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab melindungi orang awam — tanpa mengira etnik dan agama — dalam perang saudara di Sri Lanka yang tamat pada Mei 2009.

Apabila saya menulis mengenai isu kemanusiaan di Gaza dan Sri Lanka pada minggu lalu di Facebook, ramai yang mengaku turut memikirkan perkara sama tetapi “tidak berani” dan “tidak sempat” serta “tiada ruang” untuk bersuara.

Saya berpendirian tegas menentang sekeras-kerasnya segala bentuk penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh mana-mana pihak. Saya juga percaya bahawa golongan minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk bersuara; ruang untuk berdialog demi mencari penjernihan minda.
Ruang untuk memperkatakan isu di Gaza, Sri Lanka, Myanmar dan sebagainya dari sudut kemanusiaan (bukan agama dan etnik) sudah dibuka.

Semoga disambut oleh politikus, media arus perdana, NGO dan masyarakat pelbagai kaum/agama demi mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat.-tmi* Uthaya Sankar SB adalah penerima Anugerah Duta Keamanan daripada Universal Peace Federation pada 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan.

About KLdaily

Paparan Berita, Pendapat, Rakaman Fakta, Gossip - Politik dan Sosial

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: