//
you're reading...
Pendapat / Opinion

Untuk menikmati pembangunan sebagai kebebasan, Malaysia perlu bebas rasuah – Oleh Lim Guan Eng

Dalam buku Development as Freedom (Pembangunan sebagai Kebebasan), pemenang anugerah Nobel, Amartya Sen, yang juga merupakan ahli ekonomi tersohor kerana tumpuannya terhadap warga miskin, telah menulis bahawa pembangunan itu adalah proses perkembangan kebebasan.

Beliau telah mengenal pasti 5 kebebasan yang menyumbang ke arah keupayaan seseorang untuk hidup dengan lebih bebas:

1.   Kebebasan politik

2.   Kemudahan ekonomi

3.   Peluang sosial

4.   Jaminan ketelusan

5.   Perlindungan keselamatan

Kebebasan politik merangkumi hak asasi dan kebebasan-kebebasan daripada kebebasan bersuara kepada kebebasan akhbar dan maklumat; pilihan raya demokratik di semua tahap termasuk kerajaan tempatan dan keluhuran undang-undang.

Kemudahan ekonomi merujuk kepada peluang untuk memanfaatkan sumber ekonomi.

Peluang sosial merujuk kepada pendidikan, kesihatan dan apa-apa yang dapat membantu individu untuk mencapai kehidupan yang lebih sejahtera.

Jaminan ketelusan memberikan kebebasan untuk berurusan dengan satu sama lain dengan pendedahan penuh untuk mencegah rasuah dan penyelewengan.

Perlindungan keselamatan diperlukan untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk mencegah kehilangan hak dan kemiskinan melalui bantuan sosial dan bantuan bencana.

Tidak ada sebarang keraguan bahawa berdasarkan parameter kebebasan ekonomi dan politik, Malaysia telah gagal untuk menunaikan janji Merdeka iaitu hak asasi dan kebebasan, kesaksamaan politik, kesaksamaan peluang ekonomi, perkongsian kesejahteraan dan keadilan sosio-ekonomi serta integriti dalam kepimpinan.

Jika Pulau Pinang boleh, mengapa tidak Malaysia?

Sebaliknya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sudah menunaikan semua parameter tersebut.

Kita sudah pun meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat, Enakmen Pilihan Raya Tempatan Pulau Pinang untuk mengembalikan “undi ketiga”, mengisytiharkan harta peribadi kesemua barisan EXCO termasuk Ketua Menteri, membasmi miskin tegar dengan pendapatan minima RM600 untuk semua isi rumah dan akan membasmi kemiskinan sama sekali menjelang tahun 2015, melaksanakan tender terbuka, menyediakan wifi percuma di kawasan-kawasan awam serta memberi bantuan wang kepada rakyat.

Semua kejayaan ini telah dilakukan dengan lebihan bajet setiap tahun dan pengurangan hutang sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta.

Kita juga sedang menangani kesesakan lalulintas dengan pelaburan dalam infrastruktur dan penyediaan perumahan mampu milik melalui pembinaan 18,000 unit di serata negeri dengan tambahan 20,000 unit sumbangan pihak swasta.

Ini telah menzahirkan keyakinan di kalangan umum dan juga para pelabur, dan telah menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi utama pelaburan untuk 2 tahun berturut-turut dari 2010-2011 dengan 30% jumlah pelaburan asing (FDI) Malaysia serta menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar paling sesuai didiami untuk 2011-2012.

Skandal-skandal kerajaan UMNO-BN, rakyat tanggung sengsara

Saya berpendapat kita akan menikmati pembangunan sebagai kebebasan seperti yang dijanjikan oleh Amartya Sen sekiranya kita menjadi bebas daripada skandal rasuah.

Skandal-skandal makin menjadi sinonim dengan Malaysia. Ada sahaja pencetusan skandal baru setiap beberapa bulan. Adalah terlalu panjang untuk menyenaraikan semua, tetapi beberapa contoh termasuk penyelamatan Renong sebanyak RM10.5 bilion, skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) berjumlah RM12.5 bilion, skandal saham Bumi RM52 bilion, “komisyen” setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene, serta kes terbaru “lembu dan kondo” NFC yang membabitkan RM250 juta.

Skandal-skandal tersebut dan lain-lain lagi telah menjadikan Malaysia antara lima negara yang mengalami larian modal haram yang tertinggi di dunia. Keadaan sudah pun menjadi begitu teruk sehingga laporan terbaru oleh badan pemerhati kewangan yang berpusat di Washington iaitu Global Financial Integrity (GFI) telah mendedahkan bahawa lebih daripada RM1 trilion dalam bentuk wang haram – wang daripada ketirisan modal yang tidak direkod seperti rasuah, pencurian, sogokan dan pengelakan cukai – telah dialirkan keluar secara haram daripada negara kita dalam dekad 2000 hingga 2009. Malaysia telah kehilangan satu dekad dek korupsi.

Sebagai akibat, Indeks Persepsi Rasuah terkini oleh Transparency International telah menampakkan penurunan kedudukan negara kita kepada tangga ke-60 daripada 180 negara tahun ini. Sembilan tahun lalu pada tahun 2003, kita berada di tangga ke-37 di dunia.

Dalam mengumumkan keputusan, timbalan presiden Transparency International Malaysia, Mohammad Ali, telah membuat perhatian bahawa kedudukan negara kita terus merudum akibat kelumrahan “elemen-elemen kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar”.

Dalam erti kata lain, kebanyakan skandal kewangan di Malaysia mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan kerajaan. Walau pun ada beberapa skandal yang sudah tidak diingati, impak yang ditinggalkan terus menghantui kita.

Saya bukan sahaja merujuk kepada kerugian kewangan yang berjumlah berpuluh-puluh bilion yang sukar diganti, tetapi lebih teruknya, duluan dan persepsi yang ditinggalkan – bahawa jika anda menjadi anggota kumpulan elit yang berkuasa, maka tidak apa-apa akan terjadi kepada anda walau pun betapa banyak kerugian wang rakyat.

Ini menggalakkan mereka dalam kepimpinan BN untuk terus menyalah gunakan kuasa untuk keuntungan kewangan. Hakikat bahawa pihak-pihak berkuasa seperti badan kehakiman, polis dan SPRM terus melepaskan mereka yang bertanggungjawab bermakna bahawa para penyamun akan terus merompak dan menjarah negara kita.

Skandal “forex” Bank Negara, hingga kini penyamun tidak dijumpai

Hari ini kita mengkaji semula sebuah episod hitam dalam sejarah negara. Pada awal tahun 1990-an, Bank Negara, atas perintah beberapa individu yang berkuasa, telah membabitkan diri dalam spekulasi besar-besaran dalam pasaran pertukaran mata wang asing (forex) yang bersifat meruap.

Sampai hari ini, kita masih tidak tahu lagi berapa sebenarnya jumlah kerugian yang ditanggung oleh Bank Negara. Ada yang menjangka kerugian itu berada di antara RM10 bilion hingga RM30 bilion, tetapi hakikatnya penyelewengan dan spekulasi forex yang tidak bertanggungjawab itu telah mendedahkan Bank Negara kepada kerugian maksimum sebanyak RM270 bilion, iaitu tiga kali ganda KDNK negara dan lebih lima kali ganda rizab asing negara pada masa itu.

Kerajaan pada ketika itu telah menafikan kesalahan, walaupun Tun Daim Zainuddin sendiri telah dipetik sebagai berkata, “Bank Negara tidak harus bermain dengan api seperti pasaran wang spekulatif di mana risiko dan kerugiannya adalah tinggi.” Beliau telah berkata demikian walau pun Bank Negara telah mula membuat spekulasi forex sejak zaman beliau menjadi Menteri Kewangan antara tahun 1984 hingga 1991.

Sebenarnya, sejak 1989 lagi Bank Negara sudah pun dikritik kerana kegiatan spekulasi atas yen dan dolar Amerika. Pada tahun 1991, laporan agensi berita Reuters telah mengibaratkan Bank Negara sebagai “kuasa dominan dalam permainan pertukaran wang asing”, dan telah mendedahkan modus operandi Bank Negara, yang berdagang dengan lot yang besar dan mensasarkan bank-bank di merata dunia.

Apabila kerugian telah dijumpai pada tahun 1994, Menteri Kewangan pada masa itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghentikan permainan forex Bank Negara yang tidak terkawal. Kita bernasib baik kerana Datuk Seri sendiri ada bersama kita pada hari ini untuk menjelaskan apa sebenarnya telah berlaku, dan kita semua tidak sabar untuk mendengar cerita di sebalik tabir.

Bank Negara, sebagai bank pusat negara kita, sepatutnya menjadi badan peraturan kewangan. Tugasnya adalah untuk mengekalkan keyakinan domestik serta antarabangsa dalam sistem perbankan dan monetari negara. Dengan perlakuannya yang bersifat judi, Bank Negara bukan sahaja telah mengakibatkan kerugian kewangan yang besar tetapi juga telah melemahkan keyakinan terhadap sistem perbankan kita. Ini mempunyai impak yang mendalam dari segi domestik dan antarabangsa.

Seperti yang saya kata, sampai hari ini, rakyat Malaysia masih lagi berada dalam kegelapan. Kita masih lagi tidak tahu betapa teruknya kerugian yang dialami. Lebih teruk lagi, selepas 20 tahun, kita masih lagi menunggu tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab. Malah, ada antara mereka yang terbabit dalam skandal tersebut masih lagi berada di kalangan kita dan, percaya atau tidak, masih lagi menguruskan ekonomi negara kita!

Malaysia sudah menjadi ibu kota wang hitam, dan kita pula memberi ganjaran kepada penyamun dengan mengekalkan mereka di tampuk kuasa.

CAT senjata ampuh melawan rasuah

Skandal ini, seperti skandal-skandal lain di Malaysia, harus menjadi iktibar untuk semua rakyat Malaysia tentang akibatnya jika kita kekurangan prinsip cekap, akauntabel dan telus. Tanpa pentadbiran yang bersih dan cekap, kita akan membuka diri kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh para penyamun yang menganggap perbendaharaan negara sebagai akaun peribadi mereka.

Inilah sebabnya di Pulau Pinang, kita menyokong kerajaan CAT (cekap, akauntabel dan telus) yang mana ia bukan sekadar slogan tetapi merupakan dasar untuk melindungi kepentingan awam.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Penang Institute kerana menganjurkan wacana yang sangat penting dan tepat pada masa. Adalah penting kita tidak melupai dosa-dosa lampau, supaya kita tidak mengulanginya pada masa depan. – Rkini.com

About KLdaily

Paparan Berita, Pendapat, Rakaman Fakta, Gossip - Politik dan Sosial

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: